Selasa, 4 November 2014

SAHABAT DAN JEMAAH


KEPENTINGAN JEMAAH DAN SAHABAT

Seseorang mukmin dengan mukmin yang lain adalah bersaudara. Kepentingan bagi seseorang mukmin itu adalah bersama Jemaah. Sangat penting bagi seorang mukmin itu untuk hidup berjemaah, kerana orang islam itu bagaikan sebuah bangunan, mereka saling memperkukuhkan antara satu sama lain. Bersendirian adalah perkara yang paling digeruni oleh seorang mukmin.

Sabda Nabi Muhammad SAW:
“sesungguhnya syaitan itu adalah serigala kepada manusia, samalah seperti serigala kepada kambing yang jauh terpencil daripada kumpulannya, maka berhati-hatilah kamu dan hendaklah kamu sentiasa bersama-sama dengan Jemaah dan orang ramai.”

Antara kesan jika kita berada dalam keadaan sendirian tanpa Jemaah, kita akan jadi lalai, masa yang ada berlalu tanpa aktiviti yang berfaedah. Kita menjadi lalai kerana tiada orang yang mahu memperingatkan kita kepada Allah. Pada saat itu mulalah hati dan pemikiran kita melayang dengan angan-angan yang panjang yang boleh merosakkan hati kita. Selain pada itu, saat kita sendirian, kita tiada pengawasan daripada ikhwan/akhwat. Bilamana kita tidak mendapat pengawasan daripada sahabat, mulalah kita mahu mencari sesuatu yang dapat memenuhi naluri kita yang kosong pada saat itu. Kalau perkara yang baik tidaklah menjadi masalah tetapi yang menjadi masalahnya, perkara yang tidak baik juga yang menjadi pilihan. Pada saat itu pemikiran kita mudah dikuasai hawa nafsu, ruang hati kita terbuka luas untuk dikuasai syaitan. Pada masa kita sendirianlah saat paling lemah buat kita kerana tiada dokongan daripada sahabat-sahabat.

Jika kita terpaksa bersendirian, maka langkah yang harus kita laksanakan adalah dengan mengisi masa dengan perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Allah. Jangan sama sekali masa kita dibiarkan kosong tanpa ada aktiviti yang bermanfaat. Dengan kecangihan teknologi zaman sekarang ini, jika perlu dan boleh, sentiasalah berhubung dengan ikhwah/akhwat. Jadikan teknologi sebagai jalan perkongsian ilmu dan selalulah bertanya khabar dengan sahabat-sahabat. Dapatkan pandangan dan nasihat daripada sahabat kita untuk memberikan kita kekuatan dalaman yang dapat mengekalkan kita pada jalan tarbiyyah. Nama pun sahabat, perlulah selalu beri sesuatu momentum yang mengerakkan ke arah positif. Kalau sahabat selalu nak menjatuhkan itu bukan namanya sahabat. Dan yang paling penting bagi kita saat sendirian, segala yang kita lakukan pastikan ia dilakukan kerana Allah dan sedarlah bahawa Allah sedang mengawasi setiap gerak-geri kita.

Bersama Jemaah akan menjadikan kita mampu berdiri teguh, namun dimanakah tempat kita berdiri teguh itu? Oleh itu kalau mahu bersama Jemaah, carilah Jemaah yang membawa kita men dekatkan diri kita kepada Allah. Jangan pula nanti pilih Jemaah ajaran sesat, nanti bukannya ke syurga dibawanya kita tapi ke Jahanam pula yang kita masuki. Begitulah juga dalam pemilihan seseorang itu untuk dijadikan sebagai sahabat kita. Kita perlu ingat, sekuat mana pun kita, sahabat akan menjadi cermin peribadi kita kerana walaupun tidak banyak, sedikit pun akan menpengaruhi kehidupan kita. Banyak hadis Nabi yang menegaskan untuk kita memilih sahabat yang mampu membawa kita ke syurga.

“Tidak ada kebaikan dari banyak perbicaraan rahsia mereka, kecuali perbicaraan rahsia dari orang yang menyuruh untuk bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Barangsiapa berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, maka kelak kami akan memberinya pahala yang besar”
[An-Nisa’ : 4 : 114]

Sesuatu Jemaah atau seseorang sahabat yang kita pilih perlulah memberikan kita manfaat dunia dan yang utamanya akhirat. Seseorang yang kita pilih untuk dijadikan sahabat perlulah seseorang yang selalu membangkitkan semanagt kita untuk istiqamah berada di jalan yang Allah redhai, disamping mampu menjadikankita sebagai insan yang cemerlang, gemilang, terbilang, tak larat nak bilang.
Sahabat ini merupakan cermin keperibadian kita, bagaimana sahabat kita, begitulah jua kita. Sahabat yang mulia akan selalu memperingatkan kita kepada Allah, selalu menjadi pendorong impian, seorang penasihat yang baik dan tempat berkongsi masalah dan persoalan.

Ada orang cakap, kita perlu bersahabat dengan semua orang. Kalau kita tidak berkawan dengan mereka-mereka yang jahat, mana mungkin orang jahat boleh jadi baik. Ada pula statement yang mengatakan bahawa kita boleh bergaul tetapi jangan bercampur. Sebagai orang yang bercakap dan menulis dibawah pengaruh emosi, ana agak kurang bersekutu dengan statement ini kerana bila sudah bergaul pasti akan bercampur. Sedikit-sedikit peribadi kita pasti akan terkesan dengan apa yang kita dengar dan apa yang kita lihat. Besi yang keras kalau dipanaskan pasti akan cair juga. Bau-bauan pasti akan terlekat pada baju kita. Begitulah fitrah kita sebagai manusia. Lainlah kalau kita ini memang sudah terpelihara hatinya sepertimana Nabi Muhammad SAW yang Allah pelihara daripada sifat buruk walaupun hidup dalam masyarakat yang teruk pada saat itu.

Apa-apa pun, hiduplah bersama Jemaah yang membuatkan kita ingat pada Allah dan yang menjadikan kita orang yang hampir kepada Allah SWT insyaAllah. Jazakumullah.
Pemburu Cinta Ilahi
~Share Your LOVE~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan