Ahad, 21 September 2014

Nukilan Teman


Ketika malam diselubungi dengan kesejukkan embun, membawa kedinginan yang menusuk ke dalam tulang-belulang, ketika Uwais Al-Qarni ditemani dengan mahasiswa yang tekun berbicara tentang ujian yang bakal dilalui, ketika inilah aku memulakan pergerakan jari-jemari yang penuh dengan kelambatan untuk menukilkan tulisan-tulisan perkataan yang datang dari diri sebagai seorang manusia yang penuh dengan emosi dan perasaan.  Ketika ini teman-teman yang selalu menghiburkan tiba bersama-sama kegirangan.

Dalam kegirangan mungkin ada di antara teman-teman yang dalam kelesuan memikirkan masalah-masalah teman yang lain. Kerana kasih sayang yang mendalam terhadap teman, ada di antaranya yang tidak mampu melelapkan mata kerana memikirkan masalah rakan yang disayangi.

Pernah atau tidak, kita memikirkan apa yang teman rasa, apa yang teman inginkan daripada kita atau apa yang teman suka untuk kita lakukan. Mungkin teman kita sedang memikirkan tentang keadaan iman kita, atau menginginkan kebaikan untuk kita. Untungnya jika kita ada teman yang selalu memikirkan bagaimana agama kita seperti mana Rasulullah SAW memikirkan keadaan umatnya. Merisaukan kehidupan akhir  kita ketika pertemuan di hadapan yang Maha Menguasai. Yang diharapkan bukanlah pertemuan di sini tetapi, pertemuan ketika ingin melangkah memasuki pintu syurga.
Sebaik-baik teman adalah teman yang selalu ingatkan kita kepada Allah, bukanlah hanya sebagai teman untuk ketawa sehingga kita lupa rasa sedih, teman untuk makan sehingga tidak tahu rasa lapar, teman untuk berbusiness sehingga kita lupa apa itu sedekah. Teman yang dicari adalah teman yang mampu memperingatkan kita kepada Allah SWT. Yang apabila kita melihatnya kita akan ingat akan Allah.

Mungkin ada di antara kita yang tidak suka kepada teman yang selalu nak ambil tahu tentang agama kita, selalu tanya “fulan, kau dah solat?”.
 Oh, teman yang macam tu, selalu nak jaga tepi kain orang!! Kerja dia hanya nak tengok salah orang. Atau “Oi!! aurat tu..”
Ah, yang ni lagi teruk, nak buat apa pun susah. Rasa macam bersalah je.
Apa-apa pun kadang-kadang teguran dari seorang teman itu kerana sayangnya dia kepada kita bukanlah untuk mencari kesalahan, tetapi untuk memperbaiki kesalahan.

Teman-Teman Yang Pernah Mengenal Aku, Aku Mencintai Kalian Kerana Allah!!

~SHARE YOUR LOVE~

Pemburu Cinta Ilahi

Jumaat, 5 September 2014

Persepsi Manusia


Persepsi manusia
Kadang-kadang hati kita sering tersentuh disebabkan orang di sekeliling kita. Sifat, tingkah laku, perangai, peribadi seseorang kadang-kadang mempengaruhi emosi kita. Perasaan marah, benci, sayang, cinta, sedih dan sebagainya lahir disebabkan pengaruh orang disekeliling kita yang menyebabkan emosi kita menjadi tidak menentu. Sebagai contoh, ketika bos kita memarahi kita ketika mesyuarat disebabkan sesuatu projek yang kurang berjaya, pastinya kita akan menjadi tertekan disebabkan kita dipersalahkan, dijatuhkan air muka lalu lahirlah perasaan benci terhadap bos tersebut. Saya sediri mengaku akan hakikat yang berlaku terhadap diri saya sendiri. Untuk menjelaskan, saya merupakan Jawatankuasa Perwakilan Kolej yang bertanggungjawab dalam melaksanakan program untuk kolej. Dalam program tersebut, saya memegang tugasan sebagai  pengacara majlis (MC). Sebelum program tersebut dilaksanakan, kami mengadakan raptail tetapi, raptai yang tidak penuh. Sewaktu program berlangsung, apa yang berlaku, saya terlalu cepat memberikan arahan untuk semua tetamu agar terus berdiri untuk nyanyian. Sewaktu mesyuarat yang seterusnya, saya ditegur tentang hal tersebut dengan kasar oleh majlis tertinggi. kejadian itu membuatkan saya menyimpan rasa marah dan membuatkan saya berasa malu kerana teguran yang berbentuk peril itu dilakukan semasa dalam mesyuarat dan menyebabkan saya tidak ingin berurusan dengan organisasi tersebut lagi. Mana tidaknya, harga diri kita dijadikan mainan, kesalahan kita dibesar-besarkan.
Kepentingan dalam menjaga hubungan dengan sesama manusia amat penting kerana manusia sentiasa bermain dengan emosi dan perasaan. Kita perlu memahami sifat-sitat dan perasaan manusia kerana kita juga adalah manusia yang mempunyai sama perasaan dengan mereka, lainlah yang membaca ini bukan dari kalangan manusia. Kebanyakan kita selalu mementingkan emosi diri sendiri tanpa memikirkan perasaan orang lain. Apabila kepentingan diri sendiri menjadi keutamaan, hubungan dengan sesama manusia akan menjadi masalah.
Sememangnya setiap manusia ingin diri mereka difahami, disayangi, dan diambil tahu tentang diri masing-masing. Sekiranya dipersalahkan, manusia akan mudah melenting walaupun pada hakikatnya dia memang benar-benar bersalah, kerana sifat manusia adalah tidak suka dipersalahkan. Seorang pencuri jika ditanya atas tuduhan mencuri pasti tidak akan mengaku bahawa mereka mencuri. Untuk menegur kesalahan seseorang, kita perlulah menjaga air mukanya dikalangan orang lain, jangan terus menegur kesalahannya, jadikan pujian sebagai pembuka bicara agar kita dapat membentuk situasi yang baik dalam menegur kesalahan.
Kita sendiri dapat melihat bagaimana kaedah dan pendekatan Rasulullah dalam menegur kesalahan seseorang sehinggakan orang itu merasakan Rasulullah itu seperti sahabat yang sangat rapat dengannya. Kepentingan menjaga hati sesama manusia adalah sesuatu yang utama, kerana apabila situasi kehidupan kita baik, diri kita juga akan terpengaruh dengan keadaan sekeliling.
~SHARE YOUR LOVE~
Pemburu cinta ilahi 

Khamis, 4 September 2014

Bagaimana kalimah tauhid aku?


Bagaimana kalimah tauhid aku?

Indah sungguh apabila setiap hari kita mampu untuk mengucapkan kalimah tauhid sekurang-kurangnya lima kali setiap hari. Jika dibandingkan dengan kaum kafir yang tidak pernah mengenal siapa Allah SWT. Amat indah lagi apabila kalimah tersebut terpahat didalam hati dan dilahirkan dalam bentuk perbuatan yang menghasilkan akhlak yang terpuji. Namun yang menjadi persoalan dalam keindahan memahami kalimah tauhid tersebut, bagaimana pemahaman kita terhadap kalimah tersebut. Kalimah Lailahaillallah yang membawa maksud tiada tuhan melainkan Allah itu sekadar dilafaskan melalui bibir semata-mata tanpa membawa erti pada perbuatan yang dilakukan setiap masa.
Bagi yang memahami dan ingin memahami, kalimah tersebut sebenarnya akan membawa makna bagi jiwa kita sekiranya kita benar-benar memahami ertinya. Segala kekecewaan, kedukaan, kesedihan kerungsiangan, ketakutan, dan pelbagai lagi dapat dimusnahkan hanya dengan memahami makna kalimah tersebut.
Apabila seseorang hamba itu telah mengaku bahawa tiada tuhan baginya selain Allah, hamba itu juga harus tahu bahawa tiada penolong baginya selain Allah. Apa yang kita dapat lihat pada saat ini, kebanyakan hamba sangat bergantung kepada makhluk. Apabila mereka berasa susah hati, apa yang mereka cari bukanlah sejadah, tetapi mereka mencari seseorang yang ingin mendengar isi hati mereka. Tidak dapat dinafikan bahawa psikologi manusia, mereka akan mencari seseorang yang dapat mendengar dengan baik apa yang terbuku dihati. Namun kita perlu sedar, tempat pertama yang harus kita pergi adalah Allah. Kerana Dia lah yang menetapkan segala sesuatu untuk kita, Dia lah yang mengetahui isi hati kita dan padaNya jugalah tempat kita menceritakan segala sesuatu kerana Dia adalah perdengar yang baik, Dia maha mendengar. Manusia sekadar hanya mampu memberi nasihat kepada kita, Allah jugalah yang menghilangkan kedukaan dalam jiwa kita.
Apa yang paling penting yang nak di sampaikan di sini, bila mana kita sudah mengaku bahawa tiada tuhan selain Allah, segala amal yang kita lakukan adalah kerana Allah, bukanlah atas sebab-sebab lain. Tempat kita bergantung adalah hanya pada Allah. Dalam situasai seorang pelajar ipt, mereka perlu sedar, setinggi mana pun mereka belajar, masa depan mereka bukanlah berdasarkan keputusan yang mereka perolehi tetapi semuanya berada di dalam gengaman Allah. Segala usaha yang mereka lakukan bukanlah diniatkan untuk masa depan yag cerah atau mencari yang lain selain Allah seperti Wang, kekayaan, pangkat atau apa-apa yang sehubungan dengannya. Mereka berusaha hanyalah untuk Allah. Wang, Pangkat, harta hanya dicari sebagai wasilah untuk mendekatkan diri kepadaNya. Apabila kita sudah mengaku bahawa tiada tuhan selain Allah, segala amalan yang kita lakukan adalah kerana Allah, hatta kita berjalan pun adalah kerana Allah.
~SHARE YOUR LOVE~
Pemburu Cinta Ilahi